Hantu Reagan temani janda

Sepanjang lapan tahun mendiami Rumah Putih, Nancy Reagan memang diketahui banyak bergantung kepada ahli nujum dan tahyul bagi membantu suaminya, Ronald Reagan, menguruskan AS dan dasar luarnya.

Menjelang ulang tahun kematiannya yang kelima, Nancy mendedahkan bagaimana dia masih dapat ‘melihat’ Presiden AS ke-40 itu dari semasa ke semasa.

Dalam temu bual dengan majalah Vanity Fair, Nancy, 87, berkata selalunya jika terjaga di tengah malam, dia seolah-olah berasa Reagan ada berhampirannya dan akan mula berbual untuk beberapa ketika.

“Ia kedengaran aneh, tetapi saya melihat Ronnie (panggilannya kepada Reagan) dan kami berbual.

“Tidak penting apa yang kami bualkan, tetapi saya yakin melihatnya ada berhampiran saya,” katanya.

Mewakili parti Republikan, Reagan menjadi presiden menggantikan Jimmy Carter mulai 20 Januari 1981 dan berundur selepas melengkapkan dua penggal pentadbirannya pada 1989.

Dia meninggal dunia selepas lama bertarung dengan penyakit Alzheimer pada 5 Jun 2004 ketika berusia 93 tahun.


Bercakap kepada wartawan di kediamannya di Bel Air, Los Angeles, Nancy berkata, setiap hari dia masih merasai kesedihan akibat ditinggalkan Reagan.

Selepas berumah tangga selama 52 tahun, katanya, dia mengaku terus berusaha menyesuaikan diri hidup tanpa suaminya.

Katanya, dia tidak sabar ‘disatukan’ sekali lagi dengan bekas pelakon koboi itu di alam barzakh.

Namun, katanya, ia tidaklah bermakna dia harus mengalah daripada terus menjalani kehidupan di dunia ini.

“Ronnie tentu tidak suka jika saya hanya berdiam diri menunggu mati,” katanya.

Katanya, dia tetap merindui Reagan.


“Orang kata, kesedihan anda akan hilang bersama peralihan masa, tetapi sebenarnya ia tidak begitu,” katanya.

Cuma, katanya, paderi dan bekas penasihat presiden, Billy Graham, 90, pernah memberi jaminan kepadanya bahawa mereka akan dapat dipertemukan di alam barzakh.

Kata Nancy, dia bertanya kepada Graham sama ada dia berpeluang bersama Reagan lagi.

“Apa saja jawapannya, saya mahu Graham memberi tahu saya. Dan dia meyakinkan kami akan bersatu semula,” katanya.

Pernah menerima gelaran Wanita Naga kerana caranya menuntut semua kakitangan Rumah Putih memberi perlindungan maksimum kepada Reagan satu masa dulu, memang diketahui banyak berpegang kepada kepercayaan tahyul dan ramalan ketika mempengaruhi suaminya menguruskan diari dan dasar negara.

Dalam memoir Nancy yang diterbitkan pada 1989, dia mengaku nasihat ahli nujum menjadi semakin kuat selepas Reagan cuba dibunuh pada 30 Mac 1981.

Sejak itu, katanya, dia mula merujuk kepada bintang dan peredaran planet sebelum mengatur jadual harian dan keselamatannya.

Kecenderungan itu menyebabkan Barack Obama pernah mempersendakannya apabila dia ditanya wartawan sama ada pernah merujuk kepada tukang tilik ketika memilih calon naib presiden untuk berganding denganya.

Obama kemudian menghubungi Nancy dan meminta maaf kepadanya.

Dalam temu bual sama, Nancy berkata, dia gembira berborak dengan isteri Obama, Michelle, selama 45 minit, tetapi enggan mendedahkan kandungan perbualannya dengan Presiden AS itu.
“Saya seronok berborak dengan Michelle,” katanya.

Antara nasihat diberikan kepada Michelle, katanya, adalah menganjurkan lebih banyak majlis keraian di Rumah Putih.

Dia juga meyakinkan Michelle bahawa ‘menghiburkan orang adalah pekerjaan paling mudah dalam dunia’.

“Anda tidak perlu melakukan apa-apa, sekadar berseronok dan melakukan sedikit urusan.

“Begitulah cara Washington diuruskan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad