Sami anggap bakar duit waktu malam untuk tenangkan roh jahat bukan ajaran Buddha.
MENGIKUT
kepercayaan masyarakat Tionghua, hari ke-15 pada bulan ketujuh dalam
kalendar lunar Cina, merupakan permulaan Bulan Hantu Lapar. Kononnya
pada masa itu pintu neraka akan dibuka dan para hantu serta roh
dipercayai keluar dari alam ghaib dan merayau-rayau pada waktu malam.
Dek
pegangan turun-temurun, pada bulan itu mereka akan lebih berhati-hati
dan patuh kepada pantang larang yang
diperturunkan nenek moyang bagi
mengelak ditimpa nasib malang.
Bukan itu sahaja, sebagai langkah
pencegahan supaya tidak diganggu oleh roh dan hantu itu, sebilangan
besar pengamal kepercayaan Taoist membakar duit palsu, emas, kereta dan
rumah kertas sebagai persembahan kepada roh jahat atau hantu lapar.
Menurut seorang peniaga di Kuala Lumpur, Lee Hock Ming, 29, dia percaya ritual itu mampu mengurangkan kesengsaraan para hantu.
“Orang Cina percaya dunia di bawah sana sama dengan dunia yang kita tinggal sekarang.
“Selain duit, ada juga orang yang sediakan makanan dengan kerusi kosong dan menganjurkan acara-acara hiburan.
“Mereka akan menyanyi dan berjenaka bagi mengurangkan penderitaan roh,” katanya yang mula menyambut hari tersebut Ahad lalu.
Roh mangsa kemalangan
Hock Ming berkata, rakan sekolahnya sendiri pernah disampuk roh jahat pada Bulan Hantu Lapar.
“Dulu
semasa saya tinggal di Perak, seorang kawan Melayu saya tiba-tiba
pengsan semasa kami menghadiri kelas malam. Bila sedar, dia bercakap
dalam bahasa Hokkien.
“Rupa-rupanya roh itu milik seorang lelaki Cina yang mati akibat kemalangan dan dia hendak ‘balik’ ke rumahnya.
“Roh
itu turut memberitahu tempat tinggal keluarganya. Bila kawan saya
selidik, keluarga itu memang ada dan salah seorang anggota keluarga itu
mati akibat kemalangan beberapa bulan sebelumnya,” katanya.
Seorang sami Buddha di sebuah tokong di Petaling Jaya, Chang Wen,
berkata asal-usul perayaan ini adalah daripada seorang anak murid
pendeta Buddha bernama Mu Lian.
“Semasa bermeditasi, Mu Lian
yang merupakan antara 10 murid terbaik Buddha telah mendapat petunjuk
yang ibunya sedang sengsara di neraka.
“Menurut kisah itu, ibu
Mu Lian merupakan seorang yang kedekut dan sering menghina golongan
pengemis. Apabila Mu Lian mengambil keputusan untuk menjadi sami, ibunya
sangat marah.
“Sebagai tanda bantahan, ibunya telah memberi Mu
Lian makanan berdaging iaitu makanan yang tidak boleh dijamah oleh para
sami. Kerana perbuatannya, si ibu telah diberi balasan dengan dihantar
ke neraka selepas dia mati.
“Sebagai anak yang baik, Mu Lian
sentiasa berdoa untuk ibunya dan doa itu telah didengari oleh Buddha.
Dengan keizinan Buddha, setahun sekali pintu neraka dibuka dan roh-roh
boleh kembali ke bumi untuk diberi makanan,” cerita Chang Wen.
Bukan bulan malang
Mengupas kebenaran sama ada wujud roh atau hantu jahat yang berkeliaran dan mengganggu manusia pada bulan ini, Chang memberitahu, ia sebenarnya tidak wujud.
“Perayaan untuk memperingati tarikh 15 haribulan ini
telah jauh menyimpang daripada ajaran Buddha. Mungkin ia banyak
dipengaruhi oleh adat resam orang Cina itu sendiri.
“Dalam
ajaran Buddha, Bulan Hantu Lapar adalah bulan yang paling bahagia dan
sangat diberkati. Selain roh ‘dibebaskan’, ia juga hari kemuncak para
sami belajar dan berbincang mengenai agama.
“Cara terbaik
memperingati para roh ini adalah dengan bersedekah dan sentiasa berdoa
untuk kesejahteraan mereka, bukan dengan membakar kertas atau
menganjurkan pesta. Itu hanya perbuatan yang membazir dan sia-sia,”
jelas Chang Wen.
Tambahnya lagi, ritual yang sering dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Tionghua itu tidak sepatutnya diamalkan.
“Jangan
fikir apabila duit, rumah, kereta atau emas dibakar, roh itu akan
tenang. Kehidupan mereka di alam fana tidak sama dengan kehidupan kita
di sini. Mereka tidak perlukan itu
semua, yang mereka mahukan ialah doa
dan nikmat sedekah,” katanya.
Menyelar sesetengah orang yang
suka meramalkan peristiwa malang kerap terjadi pada bulan ini, Chang Wen
memberitahu, semua hari adalah baik dan tiada hari yang malang.
“Pucuk
pangkalnya ialah amalan dan perbuatan kita. Ia tiada kena-mengena
dengan pantang larang, hari, warna atau perkara-perkara lain. Itu adat
sahaja,” kata Chang Wen.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk mendapatkan kisah-kisah seram.
klik 👉 https://t.me/hantudunia87