Cerita malam Kemensah Heights

Picture
SUGANTARO menunjukkan salah satu kawasan permainan pocong dan puntianak. Aktiviti paranormal didakwa berlaku di belakang Zoo Negara.

klik 👉 Follow Telegram @Hantu Dunia (large-bt)



MASIH kaya dengan tumbuhan menghijau serta aliran sungai yang menyegarkan, Kemensah Heights yang terletak betul-betul di belakang Zoo Negara di Hulu Klang, Selangor sememangnya cukup redup pada waktu siang.

Sungguhpun begitu, menjelang lewat malam, kawasan yang menempatkan deretan rumah teres, banglo dan kondominium itu mampu mengundang perasaan seram terutama jika melalui lorong yang gelap lagi sunyi.

Dakwaan ada penduduk terpandang kelibat pocong dan puntianak di beberapa lokasi sekadar memanjangkan lagi cerita-cerita paranormal di perumahan elit yang dahulunya dilimpahi hutan tebal itu.

Bukan sekali dua, malah difahamkan kejadian penduduk terserempak dan diganggu oleh entiti itu pada waktu tengah malam hingga pukul 3 pagi sering berlaku.

Bagi warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, ramai yang tidak betah bekerja lama di situ, apatah lagi jika terpaksa bertugas pada sebelah malam.


Kebanyakan mereka mengadu terdengar bunyi orang berjalan dan berlari malah ada juga yang mengaku sering diganggu bunyi-bunyi aneh yang tidak mampu dijelaskan.

Puntianak rumah banglo

“Seorang kawan saya pernah ternampak puntianak bertenggek di tangki air rumah banglo ini semasa ia dibina.

“Akibat terlalu terkejut dan takut, dia yang hamil dua bulan mengalami keguguran,” kata Wati, seorang warga Indonesia yang turut bekerja menyiapkan pembinaan banglo itu. Wati sudah hampir lima tahun tinggal di kawasan Kemensah.

Dia yang kerap mendengar cerita pelik daripada rakan-rakannya bagaimanapun belum pernah melihat sendiri rupa hantu yang sering diperkatakan itu.

“Saya selalu lalu di kebanyakan lokasi yang dikatakan berhantu, tapi Alhamdulillah, saya belum berjumpa lagi. Kalau ada peluang, nak juga tengok,” ujarnya ketawa.

Untuk merasai sendiri kewujudan entiti di kawasan itu, krew Jurnal mula menyusuri sebatang jalan mati yang bersempadan dengan Zoo Negara.

Digelar kawasan permainan pocong, beberapa penduduk kononnya sudah terserempak dengan makhluk itu di situ. Walaupun tidak menemui sebarang imej pelik, haruman kuat bunga melur menusuk ke hidung jurugambar Jurnal.

Peliknya, tiada sebatang pun pokok bunga di situ, yang ada hanya pokok kayu. Beberapa ketika kemudian, sewaktu ingin merakamkan gambar jalan berkenaan, kamera yang digunakan pula gagal berfungsi dengan baik untuk beberapa minit.


Biarpun berdepan dengan beberapa perkara aneh, kami tidak berjaya merakamkan sebarang imej hantu di kawasan tersebut.

Pemandu wanita

Seterusya ialah ‘jalan bukit’, lokasi panas yang dikatakan banyak gangguan pelik berlaku.

“Pernah ada seorang wanita kena kacau ketika melalui jalan ini pada pukul 11 malam. Keempat-empat pintu keretanya diketuk kuat sedangkan keretanya sedang bergerak laju.

“Dengan muka pucat lesi dan nafas yang tertahan, dia pergi ke tempat saya berniaga,” cerita seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ana.

Selain itu, sebuah banglo tinggal dan sebatang lorong yang juga jalan pintas, dikaitkan dengan kewujudan puntianak.

“Di banglo itu, ada penduduk yang ternampak puntianak terbang melintasi rumah tersebut.

“Di laluan pintas yang berdekatan dengan bengkel bas itu dahulu ada perempuan Indonesia mati bunuh diri,” kata Wati pula. Wanita ini gemar melalui jalan pintas itu dari tempat kerja ke rumah kongsinya.

Lokasi terakhir yang kami tuju pada malam itu merupakan sebatang pokok yang sering menjadi lokasi kemalangan tidak kira malam ataupun siang.

“Walaupun pokok itu berdiri di selekoh yang tidak tajam, namun dalam sebulan ada dua tiga kemalangan kereta berlaku di situ termasuk menghentam pokok tersebut,” ujar Ana.


Pada malam itu, krew Jurnal kebetulan bertemu seorang pengamal perubatan alternatif yang berasal dari Jawa Timur, dikenali sebagai Ustaz Sugantaro, 37.

Jangan takut

Mesra dengan panggilan Pak Ainul, dia yang sedang menziarah seorang rakannya dikatakan mahir mengubat orang yang terkena sihir atau diganggu syaitan dan jin.

Ketika ditanya adakah betul wujud makhluk halus di sekitar Kemensah, Pak Ainul berkata dia hanya dapat merasai kehadiran makhluk itu di atas sebatang pokok tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Katanya, kehadiran makhluk halus boleh dirasai dengan kehadiran angin yang boleh ‘diberatkan’ oleh entiti berkenaan.

“Saya dianugerahkan deria keenam yang membolehkan saya melihat dan merasai kehadiran kuasa jahat.

“Ada yang dihantar untuk mengganggu dan ada yang hadir hanya untuk melihat dunia anak Adam.


“Hanya apabila saya diperlukan untuk merawat pesakit, baru saya akan berunding dengan jin dan syaitan itu.

JALAN mati di belakang tembok Zoo Negara ini tiba-tiba berbau wangi.

“Jika tidak saya tidak akan mengganggunya. Biar sama-sama aman,” katanya yang tidak menolak kewujudan aktiviti paranormal di Kemensah.

Tidak menafikan wujudnya perasaan takut di kalangan masyarakat terhadap hantu yang mempunyai pelbagai rupa ini, Pak Ainul memberitahu: “Sebagai manusia yang tercipta sempurna, kita tidak perlu takut dengan makhluk ghaib.


“Tidak mungkin syaitan mengalahkan manusia. Yang penting, kita berserah pada Yang Maha Kuasa dan isikan jiwa dengan amalan yang dituntut agama,” ujarnya.

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram Hantudunia untuk mendapatkan kisah-kisah seram.




Tags

Post a Comment

1 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Top Post Ad


Below Post Ad