Suatu Misteri Bunyi Pelik Bola Hoki Di Sekolah

Gambar Hiasan

klik 👉 Follow Telegram @Hantu Dunia (large-bt)

Suatu Misteri Bunyi Pelik Bola Hoki Di Sekolah

Perkarangan asrama sekolah mula menyepi. Kebanyakan murid sudah tidur. Sedang orang lain nyenyak tidur, Ain masih lagi mentelaah buku pelajarannya. Ibunya sering berpesan agar dia berjaya dalam pelajaran. Sebagai anak sulung dari tiga beradik, dia menjadi sandaran keluarga untuk mengubah nasib keluarga.


Bapanya bekerja sebagai pemandu di salah sebuah jabatan kerajaan, ibunya pula suri rumah. Adik-adiknya masih kecil dan kos perbelanjaan agak mahal. Masih Ain ingat lagi, ketika PMR dahulu dia menjadi kebanggaan keluarga apabila memperolehi 8A. Biarpun berat hatinya untuk tinggalkan keluarga setelah mendapat tawaran sekolah berasrama penuh tapi demi mengubah nasib keluarga, dia rela. 

Seketika lamunannya terhenti. Dia kembali menelaah buku. Namun bacaannya terganggu kerana dia mendengar leretan bola hoki dari tingkat atas, dari bilik yang dikhaskan untuk pemain hoki sekolah. Leretan itu makin jelas kedengaran dan seketika kemudian, dia mendengar leretan itu semakin kuat seolah-olah ingin memasukkan bola ke dalam gawang. 

Serta merta, Ain menggigil ketakutan. Sebelum ini dia ada mendengar cerita daripada rakan-rakan yang mereka ada mendengar cerita tentang leretan bola hoki di tengah malam. Dia segera membatukan diri. Lampu suluhnya dipadamkan dan dia segera menarik selimut sambil menutup keseluruhan tubuhnya. Sedang dia menggigil ketakutan, dia mendengar leretan bola hoki itu mengelilingi katilnya. 

Hampir sepuluh kali dan disebabkan ketakutan, dia hampir terkencing di dalam seluar. Hendak menjerit, suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Tidak mampu dilepaskan walau hanya desahan suara yang halus. Dalam ketakutan itu, dia membaca beberapa surah diingatinya. Setengah jam kemudian, barulah leretan bola hoki itu hilang. Dalam ketakutan itu, dia akhirnya terlelap. 

Keesokan harinya, dia bertanya jika kawan-kawannya ada mendengar leretan bola hoki dari tingkat atas. Masing-masing menafikan dan kata mereka Ain mengigau. Di kelas, dia bertanya pada Syam, seorang pemain hoki sekolah. Syam menafikan rakan sepasukannya bermain bola di tengah malam. 

"Biarpun kami nak menang, tapi tidaklah sampai berlatih tengah malam," kata Syam diikuti gelak ketawanya. 

Ain hanya pendamkan hasrat hatinya. Dia tahu dia bukan mengigau kerana dia mendengar dengan jelas leretan bola hoki tersebut apatah lagi yang lebih menakutkan dirinya, leretan bola hoki itu mengelilingi katilnya hampir sepuluh kali. Dia belum lagi tidur, jadi macam mana dia mengigau. 

Malam itu, Ain tidak lagi berjaga malam. Ketika lampu dorm dipadamkan, dia bersama-sama pelajar lain, segera tertidur. Sekejapan dia terlena. Namun tepat jam 12 tengah malam, secara tiba-tiba dia terjaga dari tidur. Sekali lagi, telinganya menangkap bunyi leretan bola dari tingkat atas. Lebih kurang 10 minit, bola itu dileretkan ke kiri dan ke kanan, seolah-olah pemain bersedia memulakan permainan. 

Selepas itu, setiap hari dia mendengar leretan bola hoki dan hal ini berlarutan hampir sebulan lamanya. Malah dia ada juga terdengar kanak-kanak senior bertanyakan pemain hoki, adakah mereka bermain hoki di tengah malam tetapi masing-masing menafikan. Malah di sekolah, heboh kononnya hantu hoki mengganggu pelajar perempuan. Masing-masing ketakutan dan tidak dapat tidur lena, apatah lagi mendengar cerita Ain yang dia sudah hampir sebulan diganggu dengan bunyi leretan bola hoki dari bilik pemain hoki di tingkat atas. 

Ada kalanya, mereka beramai-ramai membaca yasin bagi menghalau gangguan tersebut tetapi malamnya, bunyi itu masih lagi kedengaran. Bukan setakat Ain, malah ada ramai lagi pelajar sekolah yang mendengar bunyi leretan yang sama. 

Melihatkan ramai pelajar perempuan yang histeria setiap kali mendengar bunyi leretan bola hoki yang dimainkan oleh hantu hoki, pihak sekolah membuka cerita lama. Khabarnya tahun lalu, seorang pemain hoki sekolah yang cukup terkenal dan menjadi sebutan kawan dan lawan kerana ketangkasannya mengelecek bola, Sarah, mengalami kemalangan ketika berlatih di padang untuk satu kejohanan peringkat negeri. Ketika berlatih itulah sedang Sarah sibuk mengejar bola hoki di padang, entah macam mana seorang pemain telah memukul bola terlalu kuat sehingga bola melantun ke mata Sarah. Sekejapan matanya mengalir darah dam Sarah terus rebah di padang. 

Rakan sepermainannya bersama jurulatih agak panik melihat darah bercucuran lalu segera membawanya ke klinik. Disebabkan kecederaannya agak parah, pihak klinik tidak mahu menanggung sebarang risiko sebaliknya mengarahkan Sarah segera dibawa ke hospital. Lima minit ditolak ke bilik kecemasan, doktor mengesahkan Sarah meninggal dunia kerana tempurung kepalanya retak. 

Rakan-rakan dan cikgu yang mengiringinya ke hospital agak terkedu dan segera menghambur kesedihan. Masing-masing tidak menyangka, Sarah akan meninggal dunia. Sitilah orang yang paling sedih, jika tidak kerana dirinya memukul bola dengan kuat, tentu Sarah masih lagi bernyawa. Biarpun menyesali perbuatannya, tapi Siti tidak sengaja malah dia juga dibebaskan setelah disoal siasat oleh pihak sekolah. Berbulan lamanya, pelajar memperkatakan hal itu. Maklumlah ini perkara pertama yang berlaku di sekolah mereka. 

Namun selepas kematian Sarah, timbul cerita pelajar yang menginap di asrama mendengar leretan bola seolah-olah orang sedang bermain hoki, Malah pada malam terakhir Ain diganggu itu, dia mendengar bola hoki dipukul ke dinding dengan kuat sebelum bola itu jatuh ke tingkat dua dan seterusnya bunyi seolah-olah orang jatuh dari tangga. Bunyinya agak berdentum dan seketika ia hilang.

Sumber : Koleksi Kisah Seram


Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk mendapatkan kisah-kisah seram.
klik 👉 https://t.me/hantudunia87



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad