Histeria SMK Tanjung Lumpur umpama perkara biasa
Fenomena itu melibatkan 35 pelajar perempuan yang menjadi mangsa berulang-ulang sejak kejadian pertama pada 13 Mei lalu dan berlarutan sehingga lebih dua bulan.
KEJADIAN histeria pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di Kuantan, Pahang, masih segar dalam ingatan.Suasana pelajar perempuan menjerit, berguling di atas lantai dan berjalan bongkok seperti wanita tua adalah kejadian biasa di sekolah tersebut setiap kali makhluk halus ‘menyerang’.
Ia mengingatkan kepada filem berdasarkan kisah benar, The Exorcism of Emily Rose arahan Scott Derrickson pada 2005 lakonan Jennifer Carpenter sebagai gadis, Emily Rose.
Dia menjadi mangsa gangguan makhluk halus dan meracau dengan suara keras akibat dirasuk hingga terpaksa diberi pelbagai bantuan moden namun masih gagal diubati.
Kekerapan bilangan mangsa ialah antara lima hingga 21 pelajar setiap hari. Kebanyakan pelajar yang ditemu bual Kosmo! Ahad mendakwa mereka ternampak kelibat seorang wanita tua.
Wanita itu kelihatan seperti berusia lebih 200 tahun dan sedang memanjat belakang rakan mereka sehingga menyebabkan mangsa membongkok dan berjalan seperti seorang nenek yang telah uzur.
Tetapi ada juga yang terpandang satu makhluk berbadan besar, tinggi lampai, berwajah hodoh dan bengis mendekati mereka. Makhluk itu menjerit-jerit serta membisikkan sesuatu di telinga kiri.
Selepas itu mangsa mula diserang histeria dan meracau. Dalam keadaan bawah sedar akibat histeria, mereka mendakwa terlihat ratusan makhluk aneh berwarna gelap.
Bersaiz anak kucing, ia merayap serata tubuh menyebabkan mereka meronta ketakutan. Sepanjang kejadian, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Namun menurut Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latiff, pemeriksaan perubatan mendapati mangsa tiada sebarang masalah kesihatan fizikal mahupun mental.
Ia situasi antara logik dan mistik dalam mencari huraian serta penjelasan terbaik, atau petunjuk terhadap kewujudan entiti yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.
Hikmahnya supaya masyarakat moden kembali kepada ajaran agama. Tidak dinafikan, perkembangan itu juga mendapat perhatian pengamal perubatan tradisional di seluruh negara.
Sehingga 1 Ogos lalu, seorang pengamal perubatan tradisional, Sahabudin Shamsudin atau Pak Din dengan sukarela cuba menyelesaikan masalah dengan kaedah tersendiri.
MANGSA sering bertindak agresif.
HISTERIA dikaitkan dengan makhluk halus.
Selepas dipindahkan, suasana sekolah kembali aman tetapi ia hanya bertahan selama tiga hari. Pada 4 Ogos pula, kejadian histeria kembali berulang dengan siri baru yang lebih agresif.
Hujah Pak Din, siri kedua itu angkara syaitan yang mengakibatkan histeria tanpa mengira masa, berbeza dengan gangguan siri pertama yang berpunca daripada bunian.
Dalam siri kedua, mangsa menjadi lebih agresif dan membentak sesiapa sahaja yang cuba menghalang mereka dengan suara yang keras selain cenderung untuk melawan.
Penjelasan saintifik mengenai histeria dikatakan berpunca daripada simptom fizikal seperti paralisis yang disebabkan kecelaruan fikiran.
Apa kaitannya pula dengan suara keras dan garau seperti seorang lelaki dewasa oleh pelajar perempuan mangsa histeria dengan ‘teori’ kecelaruan fikiran?
Kejadian bagaimanapun reda selepas Jabatan Pelajaran Pahang memberi cuti sehingga 24 Ogos kepada semua mangsa berehat di rumah sebelum ditukarkan ke sekolah lain dengan harapan ia tidak berulang.
Histeria memang dijelaskan dalam ensiklopedia perubatan sebagai gangguan mental akibat tekanan dengan menyebabkan simptom paralisis dan sebagainya.
Namun jika dikatakan ada sesetengah kes yang disebabkan gangguan makhluk halus, maka ia harus dipertimbangkan dengan akal sebagai seorang Muslim dan mempercayai kewujudan makhluk selain manusia yang menghuni dimensi ghaib seperti diceritakan dalam al-Quran.
Walau apa pun pertimbangan kita terhadap kejadian histeria di SMK Tanjung Lumpur, ia tidak wajar menjadikan kita lebih takut terhadap sesuatu selain Maha Pencipta Yang Berkuasa.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk mendapatkan kisah-kisah seram.
klik 👉 https://t.me/hantudunia87
apa barang ni ni kes penat nie dan tak cukup perlindungan. bertawakkalah kepada Allah.
ReplyDelete