Penjejak alam ghaib

Vamp Malaysia anjur aktiviti merungkai misteri alam mistik

klik 👉 Follow Telegram @Hantu Dunia (large-bt)

Penjejak alam ghaib

JAM sudah menunjukkan pukul 11.45 malam. Rahmat Mokhtar, 23, tenang meranduk kepekatan malam menuju ke satu kawasan semak dan terpencil di Sungai Buloh, Selangor.

Pada malam itu, kru Jurnal diberi kesempatan untuk melihat sendiri bagaimana Rahmat dan rakan-rakannya mengesan aktiviti paranormal atau lebih tepat, memburu hantu.

Walaupun berpengalaman pergi ke lokasi-lokasi 'keras' sebelum ini, ia tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruh kami tatkala melangkah ke wilayah berbukit yang didiami ratusan jirat yang tersusun rapat itu.

Menurut Rahmat, jirat tersebut dibina khas untuk menempatkan mangsa-mangsa kaum Cina yang terkorban dalam tragedi berdarah 13 Mei 1969.

"Lebih kurang ada 100 kubur di sini, termasuk satu kubur milik orang Melayu," ujar Rahmat yang mengepalai aktiviti pada malam itu.

Mengenali Rahmat melalui blognya, vampmalaysia.blogspot.com, ada sesuatu yang menarik tentang pemuda ini.

Minatnya yang mendalam dalam bidang kajian paranormal telah membawanya hingga ke Itali.

Malah, graduan Kajian Hantu dan Parasikotik dari sebuah institusi pengajian paranormal di Itali itu juga pernah berkunjung ke Penjara Pulau Venice, Itali untuk merungkai kematian misteri 400 banduan di penjara berkenaan.

Bagi Rahmat dan dua rakannya, Mohd. Nasir Mohd. Ruhane, 29, dan Mohd. Izwan Shah, 24, daripada Virtual Activity Paranormal Malaysia (Vamp Malaysia), menjejak hantu bukan perkara asing.

Malah, ia dilakukan hampir setiap bulan di beberapa lokasi berbeza.

Ditubuhkan pada tahun 2007, Vamp kini menjadi komuniti pengesan aktiviti paranormal yang aktif di Lembah Klang.

Malah, ia turut memberi peluang kepada orang awam untuk mencuba pengalaman mencari hantu secara percuma.

"Setakat ini, apabila kami buat lawatan berhantu ini, Alhamdulillah, belum ada yang pernah disampuk teruk.

"Apa yang penting, tetapkan niat untuk belajar dan jaga perbuatan serta percakapan sepanjang berada di sini," ujar Izwan seperti tahu perasaan gusar yang bersarang dalam hati kami.

Picture
Vamp Malaysia anjur aktiviti merungkai misteri alam mistik

Kos

Malam itu kami turut ditemani oleh Arwin John, 20, pengasas Malaysian Paranormal Research yang aktif membuat kajian mengenai aktiviti paranoia di sekitar negeri Perak.

Langkah yang tadi diatur perlahan kini mula rancak apabila alat perakam bunyi yang berada di tangan Arwin mengeluarkan bunyi bising, yang pastinya ia cukup kuat dan berdesibel tinggi.

Lantas, lampu suluh, kamera perakam video, kamera refleks kanta tunggal (SLR) dan medan frekuensi elektromagnet (EMF) yang berada di tangan segera dihalakan ke kawasan yang dirasakan terdapat kewujudan aktiviti paranormal.

Kamera rakaman video yang sedia terpasang diletakkan di atas tripod manakala jari tidak henti mengetik kamera yang tersangkut di leher dengan harapan mereka dapat merakamkan imej-imej aneh.
Sementara itu, Arwin tidak lepas daripada alat perakam suara dan palam fon telinga yang melekap di telinganya.
"Alat ini boleh merakam bunyi yang tidak mampu ditangkap oleh telinga manusia sekali gus berupaya menyerap bunyi-bunyi aneh dan pelik dengan jelas," kata Arwin.

Arwin memberitahu, peralatan asas yang perlu ada untuk mengesan hantu ialah kamera kompak digital, EMF, termometer infra merah (IR), kamera video IR dan perakam suara digital.

Dia sendiri memiliki empat kamera video IR, dua pengesan EMF, sebuah termometer IR, empat perakam suara dan dua set pengesan pergerakan yang kesemuanya bernilai kira-kira RM70,000.

Ditebak soalan mengapa beliau sanggup melabur untuk hantu, katanya:

"Menjejaki hantu membawa saya ke kawasan yang terpencil dan jauh daripada orang. Sedikit sebanyak ia memberikan saya ketenangan.

"Lebih lima tahun mengkaji dan mengenali mereka, saya juga semakin mengerti tentang kehidupan selepas mati."

Arwin memiliki sijil yang disahkan oleh Persatuan Pemburu Hantu Antarabangsa di Amerika Syarikat.

Sambil menunggu, Rahmat sempat bercerita kepada kami mengenai kejadian aneh yang pernah berlaku ketika beliau dan rakannya membawa beberapa peminat aktiviti paranormal ke jirat berkenaan.

Picture
SESETENGAH bayangan atau jelmaan entiti tidak mampu dilihat oleh mata kasar namun kebanyakannya boleh dikesan menerusi rakaman video atau gambar.

Puntianak

"Setiap bulan, kami akan ke kawasan yang aktif dengan aktiviti paranormal.

"Selain di sini, kami juga biasa membawa mereka ke jirat Cina terbesar di Seputeh, apartmen lama di Pandan dan bekas tapak Hospital Lady Templer di Cheras.

"Jirat ini adalah antara lokasi yang sering kami kunjungi. Jika tidak ada lawatan berkumpulan, saya dan Nasir biasanya akan datang berdua dan duduk di sini sehingga pagi.

"Semasa kami bawa satu kumpulan peminat aktiviti paranormal beberapa bulan lepas, kehadiran kami mungkin tidak disenangi.

"Kami lihat seperti ada pokok balak yang mahu tumbang di sini, berhampiran dengan kawasan kami berkumpul.

"Pokok itu sangat tinggi, kira-kira 14 kaki dan bila ia tumbang, pasti gegarannya kuat dan bunyinya dahsyat, bukan?

"Namun, selang beberapa minit, apabila kami pergi ke kawasan yang kami lihat pokok itu rebah, kami langsung tidak berjumpa sebarang kesan," cerita Rahmat yang mendakwa bapanya pernah berkahwin dengan puteri bunian.

"Secara fizikalnya kami tidak nampak dengan jelas, tapi daripada bentuknya, mungkin itu yang dipanggil hantu galah," celah Izwan.

Berkongsi pengalaman bersama Izwan pula, beliau pernah terserempak dengan kehadiran entiti paranormal di kawasan perkuburan berkenaan.

"Di laluan masuk ke jirat tadi, saya pernah terserempak dengan lembaga putih yang terbang laju dari arah jirat ini.

"Pernah juga terjadi, ketika lawatan berkumpulan, kami meninggalkan seorang gadis di kawasan jirat ini tetapi dipantau dari jarak dekat.

"Tidak sampai 20 minit, dia sudah menjerit minta tolong. Mukanya pucat dan jelas dia ketakutan.

"Menurutnya, ketika duduk di situ, dia terasa seperti ada orang yang lalu-lalang di sekelilingnya.

"Dia menjadi lebih takut apabila terasa disentuh dari belakang sedangkan dia cuma berseorangan.

"Daripada rakaman video, memang benar ada bayangan putih yang menghampirinya," jelas Izwan yang terdorong untuk mengesan aktiviti paranormal selepas sering membantu datuknya mengubat orang ketika usia remaja.

Anggota paling senior dalam kumpulan itu, Nasir juga tidak kurang pengalamannya berdepan dengan kejadian misteri.

"Komuniti penjejak paranormal seperti Vamp Malaysia dan Malaysian Paranormal Research bukan sahaja menjejaki aktiviti paranormal, bahkan kami juga mengkaji tentang alam.

Curi tenaga

"Kami juga sering membincangkan tentang pembangunan, pembukaan tempat baru dan pemanasan global serta kesannya kepada makhluk-makhluk ini.

"Tidak mustahil gangguan itu berlaku disebabkan kawasan mereka diceroboh dan mereka perlu mencari penempatan baru.

"Paling jelas gangguan yang sering dialami oleh pelajar sekolah di beberapa kawasan yang memang menjadi tempat tinggal mereka sebelum ini.

"Selain itu, kita juga pernah dipanggil untuk mengesan dan membantu menyelesaikan beberapa masalah berkaitan gangguan makhluk ghaib.

Picture
KAMERA perakam video dipasang di sekitar kawasan jirat untuk mengesan kehadiran entiti paranormal di lokasi berkenaan.

"Namun, itu semuanya bergantung kepada keizinan Allah," ujar Nasir.

Tidak bercakap kosong atau yakin dengan deria keenam semata-mata, kumpulan penjejak aktiviti paranormal itu mempunyai penjelasan dari sudut agama dan sains.

"Melalui kajian dan pengalaman, kehadiran aktiviti paranormal di satu-satu kawasan boleh dinilai melalui alat pengesan yang digunakan.

"EFM akan menunjukkan signal amaran berwarna merah sekiranya entiti itu hampir dengan kita.

"Rasionalnya, entiti paranormal mempunyai medan elektromagnet yang kuat malah ia juga terkenal disebabkan sifatnya yang menyerap tenaga, tidak kira daripada manusia atau alatan yang kami bawa.

"Contohnya seperti malam ini, bateri kamera yang penuh hampir habis, walhal tidak sampai 100 keping gambar yang dirakam. Pada keadaan biasa, ia mampu bertahan sehingga 1,000 keping gambar.

"Para pengkaji juga pernah meletakkan selonggok bateri bercas penuh di kawasan yang aktif dan membiarkannya semalam bersama kamera video dan meter penyukat tenaga.

"Keesokannya, bateri itu sudah kosong dan daripada rakaman video, jarum meter menunjukkan pergerakan ke kanan berkali-kali menandakan ada sesuatu yang menyerap tenaga daripada bateri tersebut," jelas Nasir.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk mendapatkan kisah-kisah seram.
klik 👉 https://t.me/hantudunia87



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad