Kisah Seram Lelaki Gigi Rongak

Gambar Hiasan

Kisah Seram Lelaki Gigi Rongak

SEHINGGA pukul 11 malam Razi masih belum membuat keputusan untuk balik ke kampungnya di Pulau Sebang di Melaka.


Tidaklah jauh sangat dari Kuala Lumpur ke Pulau Sebang, dalam 2 jam setengah pun boleh sampai. Anak dan isterinya sudah balik seminggu lebih awal, kerana persediaan adiknya yang akan berkahwin. Serba salah juga dia sama ada mahu balik malam itu juga atau pada esok paginya. Maklum sajalah kalau balik pada malam itu pun tidak ada gunanya kerana majlis pernikahan sudah pun berlangsung kira-kira pukul 9.30 malamnya. Dia sudah berjanji dengan isterinya Ani untuk balik juga ke Pulau Sebang pada malam tersebut, tetapi tidak jadi disebabkan urusannya dengan seorang kontraktor tidak selesai.

Kontraktor itu mengajak makan terlebih dahulu di sebuah restoran. Kalau dia menolak pelawaan kontraktor itu juga tidak berapa sedap, kerana mereka berdua sudah berkawan lama. Lagi pun upacara pernikahan tidaklah berapa penting sangat, kerana yang menikah itu adik isterinya. Lainlah kalau adiknya sendiri, tentulah dia penting untuk hadir sama sebagai wali kerana ayahnya sudah lama meninggal dunia. Sebab itu Razi memenuhi pelawaan kawannya itu untuk makan malam. Bersama kawannya itu adalah lagi lima enam orang rakan berniaganya makan bersama, kerana mereka mahu berkenalan juga dengan pegawai muda seperti Razi. 

Dalam masa makan itu masing-masing bercerita juga mengenai cerita di tv yang sangat menarik. Salah seorang darinya bercerita pula mengenai pengalaman seorang kawannya terserempak dengan langsuyar semasa balik ke rumahnya di Cheras. Tetapi Razi kurang yakin dengan cerita itu. "Zaman moden ni mana ada langsuyar" Razi tidak percaya dengan cerita kawannya itu. "Itu saya tak tau laa Encik Razi" jelasnya tersengih-sengih. "Tapi kawan saya tu ternampak seorang perempuan mahu menumpang motosikalnya. Bila perempuan tu dah naik, dia pun mengilai menyebabkan kawan saya itu terbabas jatuh motor" katanya mempertahankan kebenaran ceritanya.

Geli benar hati Razi mendengar cerita kawannya itu. Dalam zaman moden demikian pun masih ada juga orang mempercayai akan ujudnya langsuyar mengganggu manusia. Tetapi untuk menjaga hati kawannya itu dia tidaklah terus berhujah. Dia hanya tersengih-sengih saja mendengar cerita kawannya itu. "Selalu orang terjumpa langsuyar di kawasan Cheras tu" ujar kawannya itu. "Di situ ada kubur?" seorang kawan Cina bertanya. "Memang di situ ada kubur" katanya mengerutkan dahi. "Bukan kubur Melayu saja, kubur Cina pun ada, kubur Kristian pun ada" jelasnya lagi.

Razi tersengih-sengih. Di Kuala Lumpur ini pun masih ada orang yang percaya tentang kemunculan langsuyar. Lainlah kalau kampung-kampung yang masih terdapat pohon-pohon rimbun, pokok-pokok nyiur yang tinggi melambai dan suasana malam yang sepi. Semua keadaan tersebut boleh menimbulkan ketakutan kepada mereka yang lemah semangat. Di Kuala Lumpur suasana seperti itu tidak ada lagi. Cahaya lampu terang benderang di kiri kanan jalan. Kereta menderu di jalan raya sehingga sampai ke subuh, suasana tidak pernah sepi dengan lori-lori mengangkut barang bergema membelah malam. Masakan langsuyar berani muncul dalam keadaan seperti ini. 

"Awak pernah jumpa langsuyar?" Razi menduga. Kawan itu menggeleng kepala. Dia sendiri tidak pernah bertemu dengan langsuyar cuma mendengar cerita dari kawan-kawan saja. Razi ketawa kecil mendengar jawapan kawannya itu. Macam mana kawan itu boleh percaya sangat sedangkan dia tidak pernah berjumpa. Sekadar mendengar cerita orang saja tidak boleh diterima sangat, kadangkala kilauan bayang pun mereka kata langsuyar disebabkan mereka lemah semangat. 

Apabila balik dari makan di restoran berkenaan, Razi pun balik ke rumahnya di Ampang. Mula-mula dia merasa tidak dapat tidur, boleh bangun pagi sedikit, dan sempat sampai ke rumah mertuanya di Pulau Sebang kira-kira pukul 8.30 pagi. Selepas subuh, bolehlah terus bertolak balik. Hingga pukul 11 malam dia merasa gelisah kerana tidak memenuhi janjinya kepada isterinya untuk balik kalau tidak ada apa-apa urusan lain, sebaliknya kalau ada hal dia akan cuba sampai ke Pulau Sebang jam 8.30 pagi besoknya.

Kerana hatinya berkata-kata lantas Razi mengambil keputusan untuk balik saja ke Pulau Sebang malam itu juga. Sebelum balik dia datang dulu ke rumah saya, kira-kira hampir jam 12 tengah malam dia sampai ke rumah saya. Ia memang selalu juga datang ke rumah saya tidak kira pukul berapa pun. 

Memang dia tahu saya tidak pernah merasa terganggu kalau ada orang datang pada tengah malam demikian. Saya masih membaca buku semasa dia datang memberi salam. Saya pelawa dia masuk, tetapi dia bercakap dari dalam kereta saja. "Saya nak balik malam ni juga Ustaz" dia memberitahu. 

"Kata nak balik besok" isteri saya memotong sebaik saja tercegat di belakang saya."Balik jengah muka, nanti apa pula kata orang kalau besok baru nampak muka" ujarnya tersengih-sengih. "Kau, balik seorang saja?" tanya saya. "Ya Ustaz" sahutnya masih tidak keluar dari kereta. "Jadi besok Ustaz datang ya, jangan tidak pula. Nanti, masam pula muka orang rumah saya" katanya mengingatkan.

Isterinya Ani berkuat mengajak saya ke majlis kahwin adiknya itu. Sebab itu dia desak Razi supaya datang dengan membawa keluarga saya sekali sekiranya balik pada sebelah pagi Ahad. Malah Ani sendiri lebih suka Razi balik pada hari Ahad daripada petang Sabtu. Pada mulanya Razi bercadang mahu balik pada pagi Ahad, tetapi bila mengenangkan akan bertolak jam 6 pagi, tentulah tidak sedap mengajak saya bersama pada pagi demikian. Kalau mahu pukul 10 pagi pula, dia bimbang dituduh tidak mengambil berat hal keluarga isterinya. Ini semualah yang menjadi serba salah kepadanya.

Saya pun bersetuju akan pergi sendiri pada besoknya. Hubungan kami sekeluarga dengan keluarga mereka amat baik, jadi tidak sedaplah kalau tidak memenuhi permintaannya. Malah Ani sudah 'mengagih'kan anak lelakinya kepada saya. Pada mulanya budak itu sakit saja, tetapi selepas dibawa berjumpa saya, Alhamdulillah budak itu sihat. Itulah pun puncanya kami berkawan rapat. "Saya balik dulu Ustaz, jadi besok saya jemput Ustaz ye!" katanya tersengih-sengih. "Malam-malam macam ni kalau mengantuk berhenti, tidur dulu. Lepas tu kalau nak jalan, baru jalan pulak" ujar saya supaya dia tidak tergopoh-gapah mahu cepat sampai. "Baiklah..." dia memberi pengakuan.

Apabila dia meninggalkan rumah saya, Razi tidak ke mana-mana lagi. Dia teruslah balik mengikut highway Seremban. Ketika ini memang jam lebih 12 tengah malam. Cuaca juga sejuk, dan kereta juga tidak banyak lagi lalu lalang. Selepasa tol Kuala Lumpur, hujan mulai turun renyai-renyai. Razi tidak berani melarikan keretanya laju-laju kerana bimbang jalan licin. Dia memang selalu mendengar nasihat saya iaitu apabila membawa kereta janganlah terlalu laju. 

Walaupun pada sebelah malam demikian jalannya lapang, tetapi tidak ada gunanya membawa kereta terlalu laju. Apa sangat mahu dikejar cepat-cepat, kerana tidak ada apa-apa yang mesti disegerakan. Kalau mahu mengejar majlis pernikahan, upacara tersebut sudah pun selesai, mungkin jam 10 malam lagi. Dia sampai di Pulau Sebang pun tentu semua orang sudah tidur, kalau ada yang berjaga pun hanya budak-budak main terup di penanggah. Mereka ini sengaja berjaga supaya penanggah tidak diganggu anjing atau apa-apa.

Hujan renyai-renyai tidak berhenti sepanjang perjalanan itu. Bagaimanapun ada juga kereta yang laju hingga memotong keretanya. "Hah, nak mampus agaknya bawa kereta laju-laju" rungut Razi apabila keretanya dipotong oleh sebuah kereta BMW. Jalan lurus di highway itu tidaklah cepat sangat hilang cahaya lampu kereta di depan. Lama juga baru lampu kereta BMW yang memotongnya hilang dari pandangan. Dalam masa dia memarahi kereta laju itu tiba-tiba saja seorang pemuda menunggang motorsikal memakai jaket hitam memotong keretanya. Berani sangat penunggang motorsikal itu melarikan motorsikal demikian lajunya pada malam tersebut, apalagi tatkala hujan renyai-renyai.

"Celaka motor ni, nak mampus lari laju-laju" gerutunya kerana meradang sangat dengan sikap penunggang motorsikal yang berani melarikan motorsikal terlampau laju dalam hujan renyai-renyai dan tengah malam pula. Motorsikal itu juga lenyap dalam kegelapan malam, mungkin kerana larinya terlalu laju meninggalkan kereta dia jauh di belakang, mungkin juga cuaca terlampau gelap kerana hujan renyai-renyai turun tidak berhenti. 

Dari cahaya lampu keretanya memang hujan yang turun itu nampak jatuh halus-halus menimpa cermin keretanya. Sebab itu dia tidak nampak pandangan jauh di hadapan. Walaupun tengah malam masih ada juga kereta lalu lalang sama ada di jalan menuju ke Seremban, begitu juga jalan menuju ke Kuala Lumpur. Kadang-kala dia perlu juga berhati-hati kerana ada tempat-tempatnya jalan sedang dibaiki. Berjalan berkereta pada waktu malam mata mesti cekap memerhati.

Tidak terasa pula mengantuk pada Razi. Untuk menghilangkan rasa mengantuk dia membunyikan radio.Setidak-tidaknya boleh juga mendengar siaran warta berita pendek atau ada juga lagu-lagu hiburan. Kalau dipasang kaset lagunya balik-balik itu saja. Lagi pun Razi lebih gemar mendengar radio dari kaset, kecuali kalau berjalan bersama isterinya, Ani lebih gemar mendengar kaset. Melepasi saja simpang ke Bangi, Razi nampak dari cahaya lampu keretanya seorang pemuda menahan keretanya. Ternyata pemuda itu di dalam kesusahan kerana motorsikalnya rosak. Dia cam betul bahawa pemuda itu adalah penunggang motorsikal yang memotong keretanya tadi.

"Tolonglah saya bang" kata pemuda itu merayu "Sampai kat simpang Nilai cukuplah" ujarnya mahu menumpang kereta Razi. Mula-mula curiga juga Razi, mana tahu perompak yang sengaja menyamar meminta pertolongan. Kemudian apabila sampai di pertengahan jalan kawan-kawannya sudah menunggu. Sudah tentu dia terperangkap dengan tipu muslihat perompak begini. Bagaimanapun dia sudah behenti apabila ditahan oleh pemuda berkenaan. Serba salah juga dia kalau menolak permintaan pemuda itu. 

"Janganlah takut bang, saya bukannya budak jahat" dia semacam tahu apa yang difikirkan oleh Razi. "Motor saya buat hal pulak, saya nak balik ke Nilai. Saya kerja Polis Bandaraya, janganlah abang bimbang" katanya membuka jaket hitamnya. Memang benar dia memakai uniform polis bandaraya. Setelah merasa yakin pemuda itu tidak berbohong, dia pun membenarkannya menumpang.

"Nanti, saya letakkan motor saya ke dalam sikit" katanya tersengih menampakkan giginya yang rongak. Kemudian dia menolak motorsikal itu ke lorong tempat jual buah-buahan. Setelah merasakan motorsikalnya selamat dan tidak akan diusik orang, pemuda itu naik ke kereta Razi. "Malam-malam macam ni mana nak cari Formen" keluhnya lantas menghulurkan tangan bersalaman dengan Razi. 

"Nama saya Jenal, duduk kat Nilai. Berulang-alik aje kerja di Kuala Lumpur" jelasnya sambil membetulkan leher baju uniformnya. Jaket hitamnya diribanya saja. "Saya Razi" beritahu Razi perlahan. "Abang nak ke mana?" tanyanya pula. "Balik kampung" ujar Razi. "Kampung abang di mana?" dia menyandarkan badannya. "Pulau Sebang" beritahu Razi ramah. Dia sudah yakin bahawa pemuda itu seorang polis bandaraya, bukan perompak.

"Berjalan malam macam ni, perompak saya tak takut" kata Jenal tersengih-sengih menghadapkan mukanya kepada Razi. Jelas pada Razi giginya rongak apabila dia tersengih-sengih itu. "Habis awak takut apa?" Razi menduga. Dia tidak terus menjawab, tetapi kepalanya berlenggok-lenggok mengikut irama lagu di radio. "Awak takut apa?" ulangi Razi mahukan kepastian. Berjalan di waktu malam tentulah mereka bimbang perompak. Mana tahu mereka menanti di mana-mana, kerana perjalanan jauh seperti ini kereta tidak banyak lalu lalang. 

Kalau terjadi rompakan sesiapa pun sukar mendapat bantuan segera. Apa lagi kalau kereta dilarikan nescaya mereka akan terlonta-lonta mencari pertolongan. Mungkin peronda lebuhraya ada membuat  rondaan, tetapi mereka sukar mengesan kejadian-kejadian sedemikian.

"Awak tak takut perompak?" tanya Razi lagi. "Tak, saya tak takut" ujar Jenal terangguk-angguk. "Tapi, saya takut kalau ada hantu, mana kita boleh lawan dia, sebab dia makhluk halus" jelasnya macam ketakutan. "Jangan awak percaya benda-benda tahyol tu, Jenal" Razi menasihatkannya. Jenal terdiam bila Razi mengatakan dia tak percaya kepada tahyol. 

Dia merenung ke hadapan saja memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan yang halus. "Kawan saya dah kena bang" beritahu Jenal perlahan seolah-olah mengingatkan sesuatu. "Dekat simpang Nilai itulah kawan saya kena. Dia pakai motorsikal sayalah, lalu di situ hari malam" katanya menyeringai menampakkan giginya yang rongak berkarat. 

Apabila dia mengangakan mulut terbau juga bau busuk wap mulutnya oleh Razi. Dia terangguk-angguk merenung cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus. Sekali-sekala Razi mengerling juga ke arahnya sambil tersenyum seolah-seolah mengejek pemuda itu yang percaya sangat cerita-cerita tahyol. Malah sejak di restoran tadi Razi sudah diceritakan perkara-perkara tahyol demikian.

Hendak dikatakan dia tidak percaya langsung juga tidak boleh. Ketika anaknya selalu sakit-sakit saja, Ani mendesaknya berubat cara kampung. Sudah dibawa ke klinik pakar pun, namun doktor tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Kepala anaknya tumbuh bisul yang boleh beralih-alih benjolnya. 

Apabila doktor mahu mengambil keputusan untuk dibedah saja, Ani berkeras tidak mahu. Dia bimbang anaknya akan cacat akal kerana sakit di kepala tidak boleh dipandang ringan. Ani mendesaknya supaya anaknya dibawa berubat di mana-mana. Kebetulan jirannya itu teman baik saya, maka teman baik itulah mengesyurkan Ani supaya menemui saya. 

Kebetulan pula dengan izin Allah, setelah saya doakan sedikit kemudian meminta dia menukar nama anaknya yang sedap didengar tetapi ertinya dalam Bahasa Melayu tidak berapa baik, mudah-mudahan sembuh pula. Budak itu sihat sampai sudah bersekolah pun tidak pernah lagi sakit. Sebab itulah dia 'agih'kan budak itu pada saya mengikut kepercayaan orang-orang Melayu di kampung.Tetapi kalau tidak di"agihkan' pun tak mengapa.

Apa yang terjadi pada anaknya ini tidak pula dianggap tahyol oleh Razi, tapi kalau cerita-cerita lain terutamanya mengenai hantu saja cepat dia mengatakan tahyol. Dia tidaklah pula memberi alasan mengapa perkara itu tahyol, sebaliknya tidak percaya saja cerita-cerita mengenainya. 

Dengan Jenal pemuda gigi rongak yang menumpangnya itu pun Razi tetap dengan pendiriannya tidak percaya cerita-cerita tahyol itu. "Dekat simpang Nilai tu, memang selalu orang jumpa bang" tegas Jenal mahu meyakinkan Razi. "Kawan saya ditahan oleh perempuan kat situ. Dia bawa perempuan tu naik motor saya" dia menambah. 

Tersengih-sengih Razi mendengarnya cerita pemuda gigi rongak di sebelahnya. Mungkin pemuda itu sengaja mahu menakut-nakutkan dia saja, atau kerana terlalu percaya kepada cerita-ceriya tahyol. Mahu juga dia menempelak Jenal, tetapi tidak mahu pula mengecilkan hati kawan yang baru dikenalinya itu. 

"Lepas tu dia terbau wangi sangat" ujarnya tidak beralih memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus. "Apa lagi perempuan itu pun mengilai laaaa" katanya ketawa kecil hingga wap mulutnya berbau busuk.

Cerita Jenal itu sudah kerapkali didengar oleh Razi. Masa makan malam di restoran tadi pun kawannya yang datang bersama kontraktor itu pun menceritakan perempuan menumpang motorsikal kawannya yang mahu balik ke Cheras. 

Sampai berhampiran dengan tanah perkuburan dia terbau wangi, kemudian perempuan yang membonceng motorsikalnya itu mengilai terus hilang dari pandangan. Sebab itulah motorsikalnya terbabas melanggar batu di tepi jalan. Jenal juga mempunyai cerita yang seakan-akan sama, hanya tempat kejadian saja berlainan. 

Kawan Jenal itu juga jatuh terbabas melanggar tebing jalan setelah perempuan itu mengilai, kemudian hilang seolah-olah asap yang berkumpul ke udara. Seminggu kawannya itu terlantar di hospital besar Seremban. Sejak motorsikalnya itu kemalangan selalu saja motorsikalnya meragam.

Tetapi Jenal tidak peduli. Kalau motorsikalnya meragam pada waktu tengah malam apabila balik dari kerja, memang dia tinggalkan saja di tepi jalan. Besokya baru dia datang menengok. 

Dia tidak bimbang kalau orang mahu mencuri motorsikalnya. Selagi motorsikalnya boleh dipakai dia tidak akan mengganti baru. "Sekarang cari duit susah, bang" beritahunya menjuihkan bibir. "Boleh pakai kita pakai dulu, rosak sikit-sikit kita repair" jelasnya tegas. Razi menggangguk. Dia setuju juga dengan pendapat Jenal. 

Lebih baik dibaiki saja motorsikalnya kalau boleh digunakan. Lainlah kalau rosaknya sudah terlalu teruk, memang elok ditukar baru kalau duitnya mencukupi. Dalam masa duit perlu digunakan kepada hal-hal yang lebih manafaat, perkara menukar motorsikal itu memang baik dikemudiankan.

Tidak sangka pula dia bertemu kawan yang ramah di jalan. Kalau tidak ada Jenal menumpangnya, mungkin dia kesunyian juga. Ada Jenal di situ, ada jugalah kawan untuk dilawan berbual. Tidaklah sunyi sangat, walaupun Jenal lebih suka bercakap mengenai cerita-cerita tahyol saja. "Sekarang dah dekat dengan simpang Nilai bang" Jenal menepuk bahu Razi. "Abang tak payah hantar saya ke dalam, turun kat simpang cukuplah" dia merendahkan diri. "Tak apa, kalau jauh ke dalam biarlah saya hantar" Razi menawarkan diri. "Tak apalah bang, terima kasih sangatlah. Rumah saya dekat aje dari simpang tu" katanya. 

"Awak tak takut ke apa-apa?" Razi cuba mengusik. Jenal tertawa terbahak-bahak usikan Razi. Dia seolah-olah tahu Razi sengaja mempersendakan ceritanya tadi. Tetapi dia tidak berkecil hati. Dia tetap melayan dengan mesra usikan Razi itu. "Kalau langsuyar tu perempuan, lebih baik saya pinang aje, buat apa takut" dia masih ketawa terkekeh-kekeh. Razi juga ketawa dengan telatah kawan barunya itu. Tidak sangka pula Jenal pandai bergurau. Dari tutur katanya memang dia percaya Jenal seorang yang ramah dan mudah dijadikan kawan. Ada saja cerita hendak dibualkannya.

Simpang ke Nilai kira-kira masih ada 500 meter di hadapan. Kasihan juga hati Razi kalau mahu menurunkan Jenal di kepala simpang. Apalah salahnya kalau dia menolong sesama insan tatkala dia memerlukan pertolongan demikian. Hari sudah jauh malam sudah tentulah dia keseorangan mahu berjalan merempuh kegelapan, di samping hujan turun renyai-renyai. 

Masakan Jenal budak jahat mahu merompak dia, dengan kawan-kawannya sudah menunggu di kepala simpang tersebut. Lagi pun apa sangat mahu dirompak oleh Jenal darinya. Perompak juga bukanlah merompak tidak mengira mangsa, mereka tentunya merompak mangsa yang telah diekori terlebih dulu. 

Mereka sudah tahu berapa hasil rompakannya apabila menahan mangsanya. Sebab itulah dia bersedia untuk menghantar Jenal sampai ke pekan Nilai. Lagipun pekan Nilai tidaklah jauh dari simpang tersebut. Selepas menghantar Jenal dia boleh balik semula untuk terus ke Pulau Sebang.

"Saya boleh hantarkan awak, hari hujan tu..." beritahu Razi bila sudah ternampak papan tanda menunjukkan simpang ke Nilai lebih kurang 500 kilometer. "Tak apalah bang, hati abang ni cukup baik sangat. Cukuplah turunkan saya di kepala simpang" Jenal tetap merendahkan diri. "Tak takut perempuan tunggu di situ?" Razi tersengih-sengih mengusiknya. "Ah, saya dah biasa dengan hantu-hantu ni, bang" dia tiba-tiba tertawa terbahak-bahak. "Awak pernah tengok hantu ke?" tanya Razi selamba. "Memang pernah bang" beritahu Jenal masih juga tertawa. "Macam mana rupanya?" Razi sengaja mengusik lagi. "Macam sayalah" katanya ketawa lebih nyaring. 

Razi berpaling melihat Jenal, kerana pemuda itu mengatakan rupa hantu seperti rupanya. Ketawanya nyaring tidak sama seperti mula-mula tadi. Apabila Razi melihat Jenal hatinya berdebar. Pemuda di sebelahnya tadi sudah berbau lebih busuk, matanya macam bola api di kaca, tulang pipinya tersembul keluar, rambutnya ada tompok-tompok darah. Kepalanya seolah-olah tengkorak yang mengerikan.

Terpaku Razi melihat kawan di sebelahnya itu. Dia tidak dapat mengawal keretanya lagi, lantas merempuh batu divider jalan. Keretanya melambung sampai lima enam kali terbalik. Esoknya bila saya dan keluarga pergi ke majlis perkahwinan adik Ani di Pulau Sebang, saya diberitahu Razi terlibat dalam kemalangan semasa balik pada sebelah malamnya. 

Majlis perkahwinan itu diteruskan juga walaupun Razi dimasukkan ke hospital besar Seremban. Selepas majlis perkahwinan itu, saya bersama-sama Ani melawat Razi di hospital. Ketika saya sampai Razi sudah sedar. Dia sudah boleh berkata-kata walaupun kakinya bersimen. Kepalanya juga cedera dan masih berbalut. Bagaimanapun dia sempat menceritakan pengalamannya itu kepada saya.

"Itulah awak, sikit-sikit tahyol, sikit-sikit tahyol" Ani mengejek dia. Tetapi Razi tidak menyahut. Dia mula memikirkan tentang cerita-cerita yang dikatakan tahyol sebelum ini. Sepanjang dia bercerita dengan saya itu, dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. "Macam rasa mimpi aje, Ustaz" katanya menahan kesakitan yang dideritainya. Saya hanya tersenyum saja mendengar ceritaya. Kerana perkara-perkara demikian memang sukar mahu diceritakan kepada orang lain, kecuali orang yang pernah mengalaminya saja dapat memahaminya. 

"Ada orang cakap, tempat saya jumpa budak tu, tempat orang mati eksiden motorsikal dulu. Dah ada juga dua tiga orang terjumpa hal macam saya ni" jelas Razi lagi macam kesal sangat mengambil keputusan terburu-buru balik pada sebelah malam tadinya. Saya mengangguk-anggukkan kepala saja, kerana ceritanya seperti Razi ini, tidak ada yang mustahilnya kepada saya. Semua boleh berlaku dengan izin Allah.

Sumber : Koleksi Kisah Seram
Karya : Tok Awang Ngah

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad